Wednesday, December 15, 2010

PENIPUAN SKIM CEPAT KAYA

KUALA LUMPUR: Satu sindiket skim cepat kaya semakin berani apabila mengugut pelaburnya agar tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa menyebabkan puluhan pelabur tertipu hanya mendiamkan diri kerana bimbang menerima padah.

Lebih malang, jumlah dilaburkan bukan sedikit malah mencecah puluhan ribu dan rata-rata mangsa kakitangan kerajaan yang membuat pinjaman bank dan koperasi. Sindiket itu juga licik apabila menyediakan kontrak bagi setiap pelabur agar mereka merasakan pelaburan berkonsepkan perkongsian keuntungan itu sah dan menepati undang-undang. Difahamkan, sejak setahun beroperasi, syarikat itu mengaut keuntungan atas angin mencecah puluhan juta dengan ratusan kakitangan kerajaan menjadi mangsa. Mangsa yang dikenali sebagai Liyana, 33, yang juga seorang jururawat berkata, dia kini menanggung beban membayar hutang RM900 sebulan gara-gara terpedaya janji manis ahli kumpulan skim itu. Dia yang ditemui ketika membuat aduan di Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, dia kini buntu dengan pinjaman bank yang terpaksa dibayarnya sedangkan pulangan tidak lagi diterimanya. “Semuanya bermula apabila rakan di tempat kerja menerima pulangan mencecah RM10,000 sebulan menyebabkan saya melabur RM60,000 dan dijanjikan pulangan RM120,000 dalam setahun. “Kegembiraan menerima durian runtuh hanya bertahan seketika apabila menerima RM10,000 pada bulan pertama dan kedua. Bulan seterusnya, syarikat itu mula memberi pelbagai alasan,” katanya yang menyertai skim itu sejak setahun lalu.

Liyana berkata, menyedari diperdaya dia dan rakan cuba berunding bagi mendapatkan wang pelaburannya semula namun diancam dan diugut.
“Bimbang menerima padah dan keluarga menjadi mangsa, kebanyakan kami hanya berserah pada nasib dan terus mendengar janji manis skim itu untuk memulangkan semula wang walaupun omong kosong.

“Namun, kerana tidak mampu menyara kehidupan dengan wang gaji yang dipotong RM900 sebulan, saya mengajak rakan tampil membuat aduan di PPIM,” katanya yang mendakwa kira-kira 30 rakan sekerjanya mengalami nasib sama.

Sementara itu, Pegawai Kerja PPIM, Mohd Mustafa Hamzah berkata, pihaknya menerima kira-kira 10 laporan penipuan skim jenis itu dan akan bekerjasama membantu semua mangsa. “Skim cepat kaya adalah penipuan. Namun, selepas mangsa menyedari diperdaya dan menuntut wang dikembalikan, mereka diugut menggunakan kongsi gelap bagi menakut-nakutkan mereka. “PPIM memandang serius aduan mangsa dan akan mengambil tindakan tegas mengikut saluran undang-undang. Kita harap mangsa jangan takut kerana undang-undang membela yang teraniaya,” katanya.

9 comments:

administrator said...

Diharap para pengguna tidak tertipu dengan skim perkongsian keuntungan kerana hanya organisasi tertentu sahaja yang dibenarkan mengambil deposit daripada orang ramai, seperti bank dan koperasi.

Selain itu, pengguna juga dinasihatkan agar berhati-hati dengan pelbagai skim yang memperalatkan istilah-istilah Islam bagi menarik pelabur. Mereka menggunakan istilah seperti mudharabah dan musyarakah, kononnya peluang pelaburan yang merekan jalankan adalah berteraskan Islam.

Sebelum melabur di mana-mana syarikat, tidak kiralah sama ada ia menggunakan label pelaburan perniagaan, pelaburan FOREX dan sebagainya, merujuklah dahulu kepada pihak berkuasa.

- Ashadi Zain (ashadizain@gmail.com)

Unknown said...

sepatutnya kita hendaklah menanamkan 'tiada istilah cepat kaya' dalam diri kita...sebab benda seperti ini hanyalah penipuan semata-mata....

Unknown said...

tindakan apa yg harus sy ambil jika sudah ditipu?

Hjh Hasnah bt Abdullah said...

saya juga ada join skim jual telefon syarikat GDS global disbursement system ketuanya dato' kusnen, bini dia dan anak lelakinya. pejabat kat tmn permata uk, sebelah giant dah lapor bank negara & KPDNPP tapi tiada tindakan. macaman rakyat tak tertipu!

administrator said...

Herry87, jika sudah ditipu, aduan dapat disalurkan pada pihak berkuasa yang berkenaan.

Bagi skim cepat kaya, saya fikir badan yang bertanggung jawab adalah kementerian perdagangan dalam negeri.

Selain itu, aduan juga dapat disalurkan pada lain-lain pihak yang dapat membantu, seperti PPIM.

Moga maklumat ini mendatangkan manfaat pada saudara.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

administrator said...

PokMeJutawe, boleh tolong terangkan sedikit mengenai modus operandi mereka bagi manfaat kita semua?

Terima kasih.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Unknown said...

Ada lagi yang masih nak cepat kaya sedangkan da banyak berita tentang penipuan skim ni..

NN said...

informasi yang sungguh bermanfaat ! tahniah !

NN said...

aku heran kenapa laa masih ada lagi orang yg percaya dgn skim cepat kaya ni..dah ramai yang dah terkena tapi mcm masih tak bole nak jadi teladan pulak pada yang belom kena...ingatlah skim cepat kaya ni bukanlah cara buat banyak duit ...tapi kikis duit korang lagik ada !